Catatan Popular

Selasa, 16 Disember 2014

Temujanji dengan Mr Lim Gemas


Semalam. Selepas makan semasa berjalan keluar dari kedai tiba-tiba saya terjatuh. Gedebuk. Cepat-cepat bangun bimbang di sedari orang sekeliling. Malu. Alhamdullilah dapat juga bangkit… tapi sakitnya kaki, terus meluru ke kereta secepat mungkin. Dalam kereta, kaki di usap perlahan-lahan. Berdenyut-denyut, rehat sekejap. Fikiran menerewang sama ada hendak talipon suami atau masuk pejabat atau ke klinik atau hospital.  Lima minit dan keputusannya ke pejabat.

Tingkat 2, sukarnya melangkah kerana kaki sudah mula membengkak. Cuba positifkan minda. Namun kaki dah mula menegang, ketat. Bengkaknya semakin besar. Suami membuat keputusan untuk menghantar saya ke Gemas, pakar urut patah (Mr Lim) bekas guru besar sekolah. Kepakarannya dalam mengubati orang yang sakit patah atau apa-apa yang berkaitan amat-amat kami kagumi. Setiap ahli keluarga atau sedara mara dan kawan-kawan jika ada masalah patah, kami akan cadangkan berjumpa dengan dia. Hasilnya telah di buktikan keberkesannya. Suami telah menyuruh adiknya untuk mengambil nombor giliran dulu kerana kami sedia maklum pasti orang sentiasa ramai memerlukan perkhidmatannya.

Dalam perjalanan, sakit semakin lebih dirasai lebih-lebih lagi jika ada gegaran, pasti terasa sakit sangat. Saya mengambil bantal kecil di letakkan di celah lutut bagi membolehkan kaki tergantung tanpa menyentuh mana-mana bahagian kereta. Suami menanyakan sama ada sakit atau tidak. Malas nak jawap sebab menambahkan sayu di hati. Sunyi. Dalam perjalanan saya Cuma mampu berdoa semoga Allah permudahkan segala urusan dan memberi kekuatan agar saya dapat menahan kesakitan yang akan di lalui nanti. Sakit kaki bertambah terasa dan tanpa di undang air mata mengalir membasahi pipi. Saya mengambil pendekatan mengucapkan Alhamdullilah dan senyum sebagai petua yang telah diajar oleh Ustazah Nurhafizah Musa bagi mengurangkan rasa sakit. Terus membacanya di selang seli kan dengan beristigfar dan berselawat.

Kami sampai lebih kurang pukul 6.20 petang orang ramai, biasalah. Suami turun dulu untuk mengambil kerusi roda sekiranya ada di sediakan. Nombor kami belum lagi melepasi iaitu numbor 36. Malang kerusi roda tiada dan suami pinjamkan tongkat dari seorang Pakcik di situ, dapatlah saya berjalan menggunakan tongkat. Sebelum itu suami menawarkan untuk mendukung saya, hah! Berat tu…70kg. No..no..no bimbang nanti sakit berpindah tempat pulak.

Lebih kurang pukul 7.30pm tibalah giliran saya. Masuk, duduk. Mr lim memeriksa kaki saya yang bengkak itu… katanya tulang dah beralih… kena betulkan dan tolak semula… ok, jawapan saya ringkas. Buatlah apa saja yang terbaik yang penting kaki ini sembuh seperti sedia kala.

Suami diarahkan untuk memegang kaki berhampiran dengan lutut bagi beliau membetulkan apa yang tidak betul. Saya menyorokkan muka di belakang suami. Takut nak tengok. Tarik nafas…lembutkan kaki.. kedengaran suami memberi arahan. Terasa kaki di godel, keriut… dan entah apa-apa lagi. Nyilu dan sakit sangat tapi tiada suara yang keluar. Hah! Lega sikit walau masih ada rasa sakit dek berpusing-pusing kaki tadi. It ok. Bayarannya cuma RM30 sahaja. Murah sangat.

Dalam berjalan balik suami bertanya “ tak sakit ke ? mungkin dia lihat saya selamba sahaja.

“ Sudah tentu sakit bang…” ringkas jawap saya.

“ Kalau sakit, lepaskanlah..”

“ Bukan cara saya “

Kami sampai di rumah hampir pukul 12 malam. Penat, rehat, tidur.